Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Selasa, 27 Januari. - Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya pagi tadi mengadakan Sesi Muzakarah bersama Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, di sini.
Mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Ahli-ahli MMN ke sesi muzakarah tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Sesi pemuzarakahan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan seterusnya ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua kampung Putat selaku ketua rombongan bagi mewakili Ahli-ahli MMN.
Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan mengongsikan beberapa perkara berkaitan isu Kementerian Pembangunan, terutamanya isu infrastruktur dan pengurusan penyelenggaraannya seperti kerja pemeliharaan, baik pulih serta menaik taraf aset fizikal kerajaan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan dalam ucapannya juga menjelaskan segala maklum balas, cadangan serta pandangan yang disuarakan telah dijadikan asas dan rujukan utama dalam memperbaiki hala tuju, usaha dan tindakan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan.
Perkara ini khususnya merangkumi usaha penambahbaikan tadbir urus (good governance), pematuhan (compliance), pengukuhan etika kerja (work ethic), serta pengurusan hal ehwal pentadbiran dan kewangan, ujar Yang Berhormat lagi.
Kesemua elemen berkenaan, jelas Yang Berhormat, adalah berkait rapat dengan pelaksanaan dan pengurusan projek-projek di bawah penyeliaan kementerian ini, yang memberi tumpuan kepada penyediaan keperluan infrastruktur, perumahan, sistem saliran bekalan air dan penyelenggaran jalan raya.
"Secara keseluruhannya, Kementerian Pembangunan mengambil maklum segala pandangan, cadangan dan kebimbangan yang dibangkitkan.
"Cabaran sedia ada akan terus ditangani secara berperingkat melalui pelaksanaan projek, penyelarasan bersama jabatan serta agensi berkepentingan, dan penambahbaikan berterusan terhadap SOP, pemantauan prestasi dan meningkatkan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan," tambah Yang Berhormat lagi.
Rombongan Ahli-ahli MMN seterusnya diberikan taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.
Taklimat tersebut juga diisikan dengan penerangan mengenai usaha-usaha menangani kejadian banjir di Kuala Belait yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya, Cawangan Daerah Belait dan Tutong, Dayang Fazidah binti Haji Md. Daud.
Sesi muzakarah antara lain merupakan salah satu platform untuk berkongsi maklumat terkini, pencerahan mengenai perkembangan perkhidmatan, dasar, pencapaian serta inisiatif Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya khususnya dalam penyediaan prasarana yang berkualiti sepertimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah mencapai kualiti kehidupan yang tinggi.
Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Norazmi bin Othman; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.